20090831

Merdeka!


Happy Birthday Malaysia, you are 52 years old now.






20090827

Pesta Ramadhan

Pahala

"Manusia ini kalau tahu betapa besarnya pahala beribadah di bulan puasa maka tak kerja dibuatnya. Semua akan berhenti kerja sebab nak mengejar ibadah di bulan ini," kata ustaz yang sedang memberi tazkirahnya di tengah-tengah bangunan shopping complex SACC (Shah Alam City Centre) di Shah Alam.

Aku, Baihaqi, Ustazah Fatahiyah bersama 9 org bakal pelajar perubatan ke Alexandria (bekas pelajar RMC, Royal Military College) duduk di kerusi hadapan yg disediakan itu di celah-celah manusia yang tidak berhijab, berambut afro dan perang. "Tak ada adab ke mereka ini bulan-bulan puasa," aku gumam sendirian dalam hati. Kecewa. Ustazah mengajak aku dan Bai untuk berbuka dengan mereka untuk kenal-kenal kerana mereka ini ada potensi untuk mengikut program-program di Mesir. Harap-harapnya, InsyaAllah.


"Antara ibadah yang manusia ini selalu pandang remeh tetapi ganjarannya sangat besar ialah bersedekah. Amalan bersedekah ini tuan-tuan puan-puan Allah dah siap beritahu ganjarannya besar mana. Kalau di bulan Ramadhan apatah lagi pahalanya Allah sendiri yang akan beri. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji..."
-Al-Baqarah ayat 261-

Maknanya ada 700 hasanah atau pahala kita akan dapat tuan-tuan dan puan-puan. Cuma pahala ini hadirin Allah tak akan bagi nampak. Dosa pahala semuanya kita tak nampak untuk uji manusia ini. Kalau manusia boleh nampak pahala dia nescaya orang tak pergi kerja macam saya cakap tadi. Bayangkan selepas bersedekah, malaikat turun kepada kita dan bagi RM700 terus. Tak ada siapa yang akan lepaskan peluang ini.

Inilah manusia. Allah ceritakan manusia ini begini:

"Sekiranya (yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutmu, tetapi tempat yang tuju itu terasa sangat jauh bagi mereka"
-At-Taubah ayat 42-

Semua dosa pahala kita Allah akan nampakkan pada hari akhirat nanti. Dan ramai yang akan menyesal ketika sedang menanggung sakaratul maut. Di kala ajal hampir tiba barulah mereka berkata seperti yang Allah rakamkan:

"Dan infakkanlah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum kematian datang kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata(menyesali), "Ya Tuhanku, sekiranya Engkau menunda (kematianku)ku sedikit waktu lagi, maka aku dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh."
-Al-Munaafiqun ayat 10-

Maka rebutlah peluang ini tuan-tuan dan puan-puan."


Lulus atau Gagal


Ustaz menyambung lagi, "Bagaimanakah para hadirin sekalian rasa jika di akhir bulan ramadhan ini, kita bakal dapat result atau keputusan kita mengenai madrasah Ramadhan. Selepas sahaja solat raya Aidilfitri dan khutbahnya, imam mengumumkan bahawa di belakang sudah ditampal result untuk Ramadhan kali ini maka tuan-tuan dan puan bolehlah lihat selepas ini. Maka dilihatkanlah result kita kepada semua. Si isteri berkata kepada suami,"Abang, saya dapat 40/100 sahaja untuk Ramadhan ini. Cukup-cukup makan je. Abang dapat berapa?". Si suami terdiam. "Abang gagal Ramadhan tahun ini, 30/100 je." Raya pun muka sedih tak sanggup nak berdepan dengan mereka yang dapat mumtaz. Alangkah ruginya.


Dr. Aidh Abdullah al-Qarni

Dr Aidh Abdullah al-Qarni ialah seorang ulama Arab Saudi juga penulis motivasi Islam terkenal di dunia masa kini. Beliau pernah dipenjara selama 10 bulan, karena menerbitkan beberapa bait syair berkaitan dengan politik. Antara karyanya yang paling terlaris adalah La Tahzan di mana 100 halaman pertamanya ditulis di dalam penjara mengajak pembaca agar tidak menyesali kehidupan, tidak menentang takdir, atau menolak dalil-dalil dalam al-Quran dan sunnah. Buku ini sudah pun diterjemahkan ke dalam 29 bahasa dunia . Selain La Tahzan karya-karya beliau yang lain antaranya 30 Tips Hidup Bahagia, Berbahagialah: Tips Menggapai Kebahagiaan Dunia Akhirat, Menjadi Wanita Paling Bahagia, "Muhammad Ka annaka Tara.


Beliau pernah menulis sebuah syair yang indah mengenai Ramadhan. Antara ungkapan yang banyak menyentuh hati manusia adalah:

"Adakah berbeza tuhan kita di bulan Ramadhan dengan tuhan kita di bulan Sya'aban dan Syawal"

Apakah yang dimaksudkan beliau?
Kita seperti menjadi seorang 'abid (ahli ibadah) yang tinggi imannya di bulan Ramadhan tetapi peningkatan amal dan iman itu tidak konsisten atau istiqamah dengan berlalunya Ramadhan. Tuhan sama yang memberi pahala. Tuhan sama yang memberi rahmah. Tuhan sama yang disembah. Jadi mengapa perlu berbeza amalan dan iman itu?

Alangkah indahnya dapat mengekalkan prestasi Ramadhan sama atau setanding dengan bulan-bulan yang lain. Rindunya aku pada suasana beribadah di dua tanah haram ketika cuti yang lepas. Ini sebenarnya ialah coretan untuk aku sendiri yang banyak lupa di samping hendak berkongsi tazkirah-tazkirah yang kebanyakannya di sampaikan oleh mereka yang mantap di bulan Ramadhan ini. Penggal pertama, penggal rahmah hampir meninggalkan kita. Masih ada masa lagi untuk memecut prestasi ke tahap yang lebih tinggi.

Akhir kata, hayatilah hadis ini yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Nabi SAW naik ke atas mimbar kemudian berkata, “Amin, amin, amin”. Para sahabat bertanya. “Kenapa engkau berkata ‘Amin, amin, amin, Ya Rasulullah?” Nabi SAW bersabda, “Telah datang malaikat Jibril dan ia berkata : ‘Hai Muhammad celaka seseorang yang jika disebut nama engkau namun dia tidak bershalawat kepadamu dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin’, kemudian Jibril berkata lagi, ‘Celaka seseorang yang masuk bulan Ramadhan tetapi keluar dari bulan Ramadhan tidak diampuni dosanya oleh Allah dan katakanlah amin!’, maka aku berkata : ‘Amin’. Kemudian Jibril berkata lagi. ‘Celaka seseorang yang mendapatkan kedua orang tuanya atau salah seorang dari keduanya masih hidup tetapi itu tidak memasukkan dia ke syurga dan katakanlah amin!’ maka kukatakan, ‘Amin”.

Ramadhan, Pesta Ibadah, Pesta Rahmah, Pesta Pengampunan, Pesta Dijauhkan dari Neraka.